Monday, September 7, 2009

Pelajar wanita kekal dominasi pengambilan baru IPTA

Pelajar wanita kekal dominasi pengambilan baru IPTA


KEJAYAAN mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah menjadi punca dominasi pelajar wanita di IPT berterusan.

KUALA LUMPUR - Fenomena kebanjiran pelajar wanita di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berterusan apabila 65.3 peratus daripada pengambilan baru program lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi bagi tahun ini terdiri daripada golongan tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, daripada jumlah 40,184 pelajar bagi kemasukan baru itu, hanya 13,951 adalah lelaki manakala 26,233 orang lagi wanita.

"Statistik ini tidak termasuk UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), tetapi saya percaya di dua universiti itu juga pelajar perempuan melebihi pelajar lelaki," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Jelas beliau, fenomena itu bakal memberikan suasana kritikal dalam pasaran kerja pada masa hadapan di mana lambakan graduan wanita jauh melebihi lelaki.

"Kita dapati, jawatan penting di jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat korporat dan swasta akan diisi oleh graduan wanita yang ketika ini berada di tahun pertama IPTA.

"Ada sesetengah jawatan kritikal yang diisi lelaki hari ini juga akan diambil alih oleh perempuan. Jadi, perlu ada sistem yang siste- matik dan terurus bagi menjamin aspek kesak- samaan gender," ujarnya.


No comments: